Pengenalan Maahad Muhammadi Lelaki


Maahad Muhammadi Lelaki (MML) merupakan sebuah sekolah menengah agama arab terkemuka di Kelantan yang kini terletak di jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sekolah ini kini berada di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang berpusat di Nilam Puri. Selama sekolah ini ditubuhkan, banyak kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh warganya. Hasil dari kejayaan dan kecemerlangan tersebut telah menjadikan Maahad Muhammadi Lelaki menjadi semakin gah dan terkenal di setiap peringkat terutamanya dari segi kurikulum dan kokurikulum. Pendidikan multisistem atau lebih senang dikenali dengan istilah serampang dua mata yang dijalankan mempunyai misi penting dalam menghasilkan intektual berilmu agama di samping ilmu akademik yang membolehkan para pelajar berjaya di dunia dan akhirat.

Sejarah Maahad Muhammadi Lelaki


Maahad Muhammadi telah ditubuhkan pada hari Khamis 20 Muharram 1356 Hijrah bersamaan 1 April 1937 Masihi hasil cetusan idea Tuan Haji Yahya b. Nik Daud iaitu anggota Majlis Agama Islam Kelantan sejak tahun 1935 dengan mendapat perhatian bersama Yang Mulia Sayid Abu Bakar b. Abdullah b. Abdul Rahman Al-Attas yang juga mudir pertama bagi Maahad Muhammadi. Bangunan asal Maahad Muhammadi terletak di bangunan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Jalan Sultan, Kota Bharu, Kelantan. Mudir pertama ialah Yang Mulia Sayid Abu Bakar b. Abdullah b. Abdul Rahman Al-Attas berasal dari bangsawan Arab yang dilahirkan di Singapura.

Interpretasi Logo MML


1. Warna Merah
– Lambang keberanian pelajar MML menghadapi mehnahdan tribulasi dunia yang mendatang

2. Warna Hijau
– Lambang warna syurga
– Lambang keimanan dan ketaqwaan warga MML
– Simbol kesepaduan dan mengamalkan ajaran Islam

3. Warna Kuning
– Lambang ketinggian darjat dan harapan ummah terhadap MML

4. Motif 3 Warna Latar
– Mengingatkan 3 tujuan utama manusia diutus ke dunia ; khalifah (pemimpin), ‘abdu (hamba) & daie (pendakwah)

5. Perkataan Iqra’
– Lambang wahyu Allah S.W.T yang pertama

6. Tulisan ‘AL-MAAHAD MUHAMMADI 1937’
– Mengingatkan kita tahun pertama penubuhannya

7. Penggunaan Tulisan Jawi
– Lambang nilai-nilai murni senantiasa dikekal dan disemai dalam diri warga MML
– Lambang keseimbangan integrasi ilmu duniawi serta ukhrawi di MML

8. Bentuk Perisai
– Lambang keunggulan dan ketahanan jati diri warga MML

9. Bentuk Bulat (Merah)
– Lambang ‘borderless world’
– MML bakal mengungguli dunia dalam semua lapangan keilmuan

 

Visi & Misi MML


FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu pelajar secara menyeluruh untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap kemakmuran, keharmonian dan kesemakmuran masyarakat dan negara.

MATLAMAT PENDIDIKAN YIK
Matlamat pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) ialah untuk melahirkan muslim yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara dan umat.

FALSAFAH PENDIDIKAN YIK
Pendidikan Islam sebagaimana yang diterangkan dalam istilah-istila tarbiah iaitu tahlil, ta’dib, irsyad dan tadris adalah suatu usaha berterusan kearah mengembangkan potensi individu muslim sebagai hamba Allah dan khalifahNya di bumi secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqliah, emosi, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam.

FALSAFAH MML
Maahad Muhammadi Lelaki merupakan sebuah sekolah agama (arab) Kerajaan Negeri Kelantan yang terbesar. Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi terhadap pencapaian dan kualiti pelajar dalam menyediakan pelapis kepimpinan negara hari ini. Berbagai usaha telah dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti Maahad Muhammadi Lelaki, antaranya menjadikan Maahad Muhammadi Lelaki sebagai sebuah sekolah An-Namuzaji. Berdasarkan pencapaian dan kebolehan pelajar-pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum, memang wajar Maahad Muhammadi Lelaki diletakkan sebagai sekolah An-Namuzaji. Oleh itu, bagi meralisasikan harapan ini kerjasama dari semua pihak adalah perlu termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan pihak kerajaan sendiri harus memberikan perhatian dan sokongan yang padu kepada Maahad Muhammadi Lelaki.

VISI MML
Merealisasikan Falsafah & Matlamat Pendidikan YIK.

MISI MML
Maahad Muhammadi Lelaki beriltizam untuk menjadi sebuah model institusi ilmu (mithali) terulung yang membangunkan sektor pendidikan sepadu dan menawarkannya untuk menggerak seluruh potensi pelajarnya bagi melahirkan generasi rabbani melalui program pendidikan terancang berteraskan Islam dan tradisi ilmunya.

Comments are closed.

HTML hit counter - Quick-counter.net