Berita YIK

MB Kelantan Lancar Kelab Memanah Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan

0

YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar telah melancarkan Kelab Memanah Sekolah-sekolah YIK pada 24 Mei 2012. Majlis pelancaran berkenaan diadakan di dataran Maahad Muhammadi Lelaki mulai jam 10 pagi. Beliau dalam ucapan perasmiannya mengajak agar kita semua kembali berpegang kepada ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan gunalah kesempatan memanah untuk memanah unsur-unsur buruk dalam diri dan juga menjadikan sebagai wasilah mendekatkan diri dengan tuhan dengan memanah syaitan dalam solat tahajjud dan doa.

Dalam majlis yang sama YAB Menteri Besar menyampaikan peralatan sukan berkenaan kepada 8 buah sekolah iaitu,Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz al Quran wal Qiraat Pulau Chondong, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, Maahad Amir Indera Petra, Maahad Muhammadi Tumpat dan SMU(A) Tarbiah Mardhiah Panchor.

Tuan Guru mempamerkan kemahiran memanah dengan menyempurnakan gimik pelancaran berkenaan. Seusai acara pelancaran YAB Tuan Guru Menteri Besar memotong riben perasmian bas baru Yayasan Islam Kelantan.

Majlis Pelancaran Kelab Memanah itu juga turut disaksikan oleh tetamu-tetamu dari Private Education Yala, Thailand yang sedang dalam rangka lawatan ke sekolah-sekolah agama di Negeri Kelantan.

Turut hadir YB. Dato’ Pengerusi Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, YB. Dato’ Pengerusi Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, YB. Dato’ Senator Dr.Johari Mat, Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-Penolong Pengarah, Pengetua-pengetua dan pegawai-pegawai Yayasan Islam Kelantan.

Tawaran Kepada Pelajar Lepasan SPM Maahad & Sekolah Menengah Ugama YIK

0

Pihak Limkokwing Academy telah bersetuju untuk menyediakan biasiswa 50% dan Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) menyediakan pinjaman pendidikan 50% kepada pelajar yang menyertai kursus di Limkokwing Academy of Creativity &
Innovation Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.

Pelajar lepasan SPM Maahad dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Yayasan Islam Kelantan yang berminat sila :-

- Isi dan hantar Borang Permohonan (Application for Admission) ke Unit Hal Ehwal Murid, Yayasan Islam Kelantan sebelum atau pada 10 Mei 2012 (Khamis).

- Menghadiri taklimat dan pemilihan pada 15 Mei 2012 (Selasa), jam 8.30 pagi di Dewan Besar, Yayasan Islam Kelantan, Nilam puri

Borang permohonan boleh didapati di Unit Hal Ehwal Murid, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Nilam Puri atau Pejabat Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), Wisma YAKIN, Kota Bharu atau di http://www.yik.edu.my/limkokwing

KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan Menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Masjid Maahad Muhammadi Perempuan

0

Kdymm_rasmi_masjidmmp

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Masjid Maahad Muhammadi Perempuan pada 01 April 2012.

Majlis berkenaan adalah merupakan acara kemuncak Sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi yang telah diadakan sejak 30 Mac 2012.

Selain menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Masjid Maahad Muhammadi Perempuan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berangkat melawat pameran kegemilangan Maahad Muhammadi 1937-2012 dan merasmikan Jam Matahari di Dataran Al-Falak Maahad Muhammadi Perempuan yang merupakan satu-satu jam berasaskan perkiraan kedudukan baying matahari di negeri ini.

Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Maahad Muhammadi

0

TokohJubliMBKelantan

Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merasmikan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Maahad Muhammadi Kota Bharu pada 31 Mac 2012.

Pada majlis yang sama, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Jubli Intan Maahad Muhammadi dan turut melancarkan tabung pembinaan Masjid Maahad Muhammadi Perempuan.

Perletakan Batu Asas Masjid Maahad Muhammadi Perempuan akan disempurnakan oleh KDYMM SULTAN MUHAMMAD KE V pada 1 April 2012.

YIK Terus Lonjak Kecemerlangan

0

Mb_wargayik2011

Pengkalan Chepa: “Yayasan Islam Kelantan terus melonjak kecemerlangan dalam beberapa peperiksaan yang telah diumumkan, antaranya peningkatan pencapaian pelajar yang mendapat 6A hingga 9A meningkat hingga dalam PMR 2011” demikian dinyatakan oleh Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Hj. Tengku Azmi b. Hj. Tengku Jaafar dalam Majlis YAB. Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Bersama Warga Yayasan Islam Kelantan. Menurut beliau, pencapaian bukan sahaja di peringkat PMR, malah Peperiksaan SMU dan juga STAM. Ini semua adalah hasil usaha dan kerja keras guru-guru dan komitmen pegawai-pegawai, katanya. Beliau juga menaruh harapan yang tinggi kepada guru-guru untuk terus menyemarakkan usaha bagi peningkatan berterusan pada masa-masa akan datang.

Majlis yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) itu adalah program khusus untuk guru-guru dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan mendapat amanat terus dari YAB. Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar. Terdahulu, YB Dato’ Dr. Johari Mat membentangkan kertas bertajuk “ YIK Memacu Kecemerlangan Pendidikan Islam” yang menyentuh sejarah, peranan dan pencapaian-pencapaian yang telah diukir.

Sementara itu, YB Dato’ Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan dalam ucapan alu-aluanya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yayasan Islam Kelantan di atas pencapaiannya dan usaha-usaha untuk menempatkan pelajar-pelajar cemerlang STAM di universiti-universiti Timur Tengah sedang dirintis.beliau berharap bukan sekadar pelajar, malah guru-guru juga akan dihantar untuk mendalami bahasa Arab di mana-mana institusi Timur Tengah yang sesuai.

Sebelum tiba di acara kemuncak, video klip sejarah dan perkembangan YIK ditayangkan, maklumat-maklumat terkini dan aktivti-aktiviti perdana diselitkan bagi melengkapkan sebuah institusi ulung menerajui pendidikan Islam dan bahasa Arab di negeri Kelantan.

YAB. Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar mengakhiri program dengan amanat kepada semua kakitangan Yayasan Islam Kelantan, antara lain beliau menyentuh keperluan dan tanggungjawab sebagai seorang yang beriman perlu menyegerakan perintah dan suruhan Allah, tidak melambat-lambat atau lebih buruk lagi mempengaruhi orang lain untuk turut sama menangguh-nangguh dan melambat-lambat usaha melebarkan syiar Islam. Beliau juga menegaskan peranan guru adalah penyambung tugas Nabi-nabi, dan kesemua guru bertanggungjawab untuk berkempen kepada Islam. Tidak harus bagi seseorang yang beriman dan sedar tanggungjawabnya sebagai seorang muslim menolak usaha-usaha mendaulatkan Islam. YAB. Tuan Guru mengingatkan semua hadirin agar tidak tergolong dari kalangan orang-orang rugi dengan menganggap Islam sebagai sudah sesuai atau dengan kata lain “tamat tempoh”. Anugerah Allah dengan kurniaan mata dan matahati sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin ke arah mengenali pencipta bagi melahirkan keAgunganNya serta memperlihatkan kelemahan kita sebagai hamba, ujarnya.

Hadir sama dalam majlis yang diadakan pada 11 Februari 2012 itu, YB. Dato Speaker Kerajaan Negeri Kelantan, Ahli-ahli Dewan Undagan Negeri, Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-penolong Pengarah dan Pengetua-pengetu Yayasan Islam Kelantan.

 

Kelulusan STAM naik 1.08 peratus

0

STAM2011

KOTA BHARU- Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.08 peratus apabila peratusan kelulusan pada tahun lalu mencatat kenaikan 66.65 peratus berbanding 65.57 peratus tahun 2010.

Daripada 1, 769 calon yang menduduki peperiksaan itu, seramai 69 calon mencapai peringkat cemerlang (Pangkat Mumtaz) iaitu 5.48 peratus, 168 calon iaitu 9.50 peratus mencapai tahap sangat baik (Jayyid Jiddan), 535 calon iaitu 30.24 peratus capai pangkat baik (Jayyid), 379 calon lulus dengan peratusan 21.42 peratus (Maqbul) dan 590 iaitu 33.84 peratus gagal (Rasib).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keseluruhan jumlah calon yang layak mendapat sijil adalah seramai 1,177 calon.

Beliau berkata, seramai 15 calon lulus cemerlang (10 Mumtaz) dalam semua mata pelajaran tahun lalu berbanding tahun sebelumnya iaitu 11 calon. 

 “Kelulusan terbaik didahului oleh Kolej Yayasan Islam Kelantan (YIK) iaitu 92.59 peratus, diikuti Maahad Muhammadi Lelaki iatu 92.45 peratus manakala Maahad Muhammadi Perempuan  mencatat peratusan 86.11 peratus”, katanya ketika majlis pengumuman keputusan STAM 2011 di kolej YIK, semalam.

 Beliau berkata,15 calon cemerlang terbabit bakal dihantar ke Universiti Ummul Qura di Arab Saudi, bagi melanjutkan pelajaran peringkat ijazah Sarjana dalam pengajian Bahasa Arab yang ditanggung 100 peratus oleh institusi berkenaan.

 “Setakat ini kita sudah berbincang dan hanya menunggu kata putus daripada pihak terbabit dan diharapkan agar pelajar-pelajar ini dapat meneruskan pelajaran dalam bidang itu.

 “Semoga mereka dapat mencapai kejayaan serta merebut peluang ini dan menjadi golongan terpelajar kelak yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah kokurikulum dan akhlak”, katanya.

Kunjungan Pengarah YIK Ke Maahad Muhammadi Rantau Panjang dan SMU (A) Al-Fauziah, Banggol Kulim

0

Mesypgrs_mmrp2011

Pengarah YIK, YM Hj. Tengku Azmi bin Hj. Tengku Jaafar mengadakan kunjungan singkat ke Maahad Muhammadi Rantau Panjang dan SMU (A) Al-Fauziah, Banggol Kulim. Kunjungan berkenaan sempena dengan Mesyuarat Pengurusan YIK diadakan di Bilik Mesyuarat Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

Tinjauan juga bertujuan melihat secara lebih dekat perkembangan pemusatan pentadbiran antara dua buah sekolah yang mana sebelum ini berada di bawah pentadbiran berasingan. Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan untuk mendekati permasalahan-permasalahan yang timbul hasil daripada pemusatan berkenaan di samping perbincangan juga turut diadakan bersama Pentadbir, Pengetua, Penolong Kanan (Pentadbiran) dan Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid).

YM Pengarah melahirkan rasa terima kasih kepada pihak sekolah atas kesudian menjadi tuan rumah Mesyuarat Pengurusan YIK dan kerjasama yang diberikan sepanjang kunjungan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Pengarah dan  Penolong-Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

 

Sumber: Pen. Pengarah Khidmat Pengurusan

304 Pelajar Maahad Tahfiz YIK Terima Sijil Khatam Al-Quran

0

MajlisGraduasiTahfiz

Kota Bharu: Seramai 304 pelajar menerima sijil khatam al Quran dalam Majlis Graduasi Pelajar Tahfiz Yayasan Islam Kelantan yang diadakan bertempat di Balai Islam Lundang. Majlis kali merupakan kali kedua selepas diadakan buat julung kalinya pada tahun 2010. Perasmian telah disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar.

YAB Tuan Guru Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya berharap agar al Quran bukan sahaja untuk dibaca dan dihafaz, malah perlu membawa isi kandungan al Quran untuk diketengahkan dalam masyarakat. Beliau turut berharap generasi terpilih dengan kelebihan hafazan ini mampu meneruskan agenda memartabatkan ajaran al Quran dalam bermasyarakat dan bernegara secara menyeluruh.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, YB Dato’ Speaker Kerajaan Kelantan, YB. Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan. 

134 Pelajar YIK Terima Bantuan Zakat & Pakaian Seragam Sekolah

0

 

Zakatbtmgkbg
 
Kuala Krai – Seramai 134 pelajar YIK menerima bantuan zakat dan pakaian seragam sekolah dalam majlis yang diadakan di SMU (A) As-Saadah Batu Mengkebang pada 31 Disember lalu. Majlis yang julung-julung kali diadakan dapat meringankan bebanan keluarga dan kurang berkemampuan di sekolah YIK di Zon Selatan,iaitu jajahan Kuala Krai dan Gua Musang.

     Zakat sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad diberi untuk YIK mengagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Hj. Mohamed bin Awang, ADUN Gual Periuk mewakili YB. Dato’ Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan.

     Pengarah YIK dalam ucapan aluan menyatakan bahawa idea penubuhan Tabung Pendidikan Yayasan Islam Kelantan dicetuskan dalam satu Mesyuarat Pengurusan dan sentiasa bergerak mendapatkan sumbangan dari pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

     Menurut beliau, majlis hari ini adalah perintis kepada program-program yang akan dipanjangkan kepada zon-zon lain di seluruh Kelantan. Keprihatinan ini dijangka dapat merapatkan jurang kemiskinan dan bukan halangan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar.

     Sementara itu, Yb Mohamed bin Awang menggesa agar pihak-pihak yang berkenaan terus menyalurkan zakat masing-masing untuk kepentingan bersama. Semangat kerjasama ini seharusnya menjadi teras dalam membawa negeri kea rah Membangun Bersama Islam.

     Hadir sama dalam program berkenaan YB Abdul Latif Abdul Rahman, ADUN Mengkebang, YB Mohd Fauzi Abdullah, ADUN Manik Urai, penolong-penolong pengarah dan pegawai-pegawai Yayasan Islam Kelantan

SMU: Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Terbaik

0

_MG_1001

MACHANG, 27 Dis: Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (YIK) tahun ini dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2011 dengan pencapaian 100 peratus.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat merupakan antara sembilan sekolah aliran Yik yang mendapat kelulusan 100 peratus terbaik dalam peperiksaan itu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah Arshad di Maahad Tahfiz Pulai Chondong, tengahari tadi.

Sementara itu, pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Al-Farouq Azmi Nazmi yang mendapat mumtaz dalam peperiksaan SMU diumumkan sebagai pelajar cemerlang YIK.

Farouk yang juga anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi itu memperolehi 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran yang diambilnya dengan pencapai 97.90 peratus.

Nur Dini Ahmad Zawawi dari MMP pula dinobatkan sebagai pelajar cemerlang wanita apabila 10 mata pelajaran yang diambil mendapat mumtaz dengan 96.90 peratus.

Muhammad Safwan Mohd Shamsudin, dari Maahad Tahfiz Pulai Chondong pula pelajar terbaik Tahfiz juga 10 mumtaz 94.30 peratus.

Amar berkata, secara umumnya keputusan peperiksaan berkenaan begitu cemerlang berbanding tahun lalu apabila 1,384 orang mendapat mumtaz (cemerlang) dengan peningkatan 31.31 peratus, berbanding sebelumnya 1,091 orang.

Beliau seterusnya memberitahu, begitu juga di peringkat Sijil Menengah Tahfiz Quran (SMTQ) juga turut meningkat 27 peratus tahun ini dengan pencapaian 85 peratus, berbanding  tahun sebelumnya 57.03 peratus.

Antara sekolah yang mendapat kelulusan 100 peratus, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong, Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Al Asriah Banggol Chicha, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Turut mendapat keputusan 100 peratus dalam peperiksaan itu,  Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, SMU (A) Al Ulum Padang Embun, Sek Men Islam Puchong, Selangor, Pusat Pendidikan Islam, Gunong dan Maahad Tahfiz Repek, Pasir Mas.

Amar ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas peningkatan dalam peperiksaan yang begitu memberangsangkan.

Katanya, peningkatan dari tahun ke tahun ini cukup membuktikan usaha Yik yang mengutamakan pendidikan Islam melalui didikan syahsiahnya adalah benar.

“Selain quality pelajar itu sendiri yang sememangnya telah hebat, ditambah pula dengan didikan, sesi tarbiah di sekolah ditambah pula sokongan guru dan doa ibubapa, menyebabkan peratus kecemerlangan itu semakin bertambah,”ujarnya.

 

PENCAPAIAN SEKOLAH TERBAIK

Sekolah Kawalan: Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong

Maahad Kerajaan: Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan

Sekolah Bantuan Kerajaan: SMU(A) Ulum Padang Embun.

Sekolah Luar YIK: Sekolah Menengah Islam Punchong.

 

SEKOLAH PENCAPAIAN 100%.

1–  Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong 

2–  Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu

3–  Maahad Tahfiz Al Asriah Banggol Chicha

4–  Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

5–  Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas

6–  SMU (A) Al Ulum Padang Embun

7–  Sek Men Islam Puchong, Selangor

8–  Pusat Pendidikan Islam, Gunong Bachok

9– Maahad Tahfiz Al-Quran Repek, Pasir Mas.

 

Go to Top